Oleh kerana keinginan dan minatnya untuk terus maju dalam bidang pelajaran, beliau telah mengambil kursus dengan Universiti London sebagai penuntut luar dan telah berjaya menjadi anak Melayu yang pertama mendapat ijazah B.A. London. Allahyarham kemudiannya telah menjadi guru besar Sekolah Francis Light dalam tahun 1983, dan perkhidmatannya terganggu dalam masa pemerintahan Jepun dan seterusnya telah menjadi penyelia Stesyen Radio Pulau Pinang. Setelah British kembali memerintah negeri kita, Allahyarham telah dilantik menjadi Nazir Sekolah-Sekolah di Seberang Perai. Beliau bersara dalam tahun 1953 dan terus berkecimpung dalam bidang politik.
Allahyarham menjadi ahli UMNO yang cergas sehingga memimpin parti itu di Pulau Pinang selama 11 tahun. Dalam tahun 1955, Allayarham menang sebagai calon parti Perikatan dalam pilihanraya yang pertama di negara kita. Beliau dilantik menjadi ahli dalam University Court (University Malaya) selama beberapa tahun dan ahli Laporan Pelajaran Rahman Talib dan lain-lain. Beliau juga menjadi Ahli Alliance Council dalam tahun-tahun yang awal ketika negara kita berusaha mencapai kemerdekaan.
Pada masa lapangnya, Allahyarham suka mengarang buku-buku untuk pelajar. Selain dari itu, beliau juga mengubah lagu, memasak dan membaca. Sebagai seorang pengakap, Allahyarham menjadi Penolong Pesuruhjaya Pengakap daerah Pulau Pinang dan menjadi Pemeriksa ujian masakan pengakap-pengakap selama beberapa tahun. Memandang kepada jasa-jasanya kepada masyarakat, D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung telah menganugerahkan kepadanya Darjah Johan Mangku Negara dan Tuan Yang Terutama Negeri Pulau Pinang memberi tauliah Jaksa Pendamai pada beliau. Haji Zainul Abidin ialah seorang anak negeri Pulau Pinang yang telah menjadi pemimpin yang berkewibawaan kerana itulah namanya disanjung di beberapa tempat seperti Taman Abidin di Jalan Perak dan Jalan Zainul Abidin dekat bangunan UMNO, Pulau Pinang. Penamaan Sekolah Haji Zainul Abidin, yang mengambil sempena nama beliau, merupakan satu kebanggaan kepada beliau,
'HARIMAU MATI TINGGAL BELANG,
MANUSIA MATI TINGGAL NAMA."
Sumbangan daripada
Tuan Haji Zainal Alam, DJN.,AMN.,BCK.,PJK.
dan anak Allahyarham Tuan Haji Zainul Abidin b. Sultan Mydin,
JMN.,JP.

No comments:
Post a Comment